Wednesday, April 29, 2009

Selsema Babi:Penyakit Ganjil Akhir Zaman

Dari Ibnu Umar Rasulullah SAW bersabda;"Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan Allah dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil)."

(HR: Ibnu Majah)

Menyelusuri sabda junjungan membuatkan diri terpaku seketika. Benarlah, kalamnya tidak pernah silap. Walau dinaqalkan beribu-ribu tahun dahulu. Untungnya orang beriman. Peringatan serta iktibar dari kisah umat terdahulu dijadikan panduan dan pedoman meredah badai kehidupan.

Hari ini, dalam kerakusan nafsu manusia mengejar arus kemodenan, dalam kebejatan ekonomi yang melanda negara serta dalam kecanggihan teknologi mengatur dunia, penduduk bumi dikejutkan dari mimpi yang lena dengan kemunculan suatu penyakit ganjil. Kalau dahulu selsema burung kini beralih kepada selsema babi.




Buat masa ini dilaporkan sudah hampir 150 jiwa terkorban dek wabak yang melanda negara-negara seperti Mexico, AS, Kanada, EU, New Zealand dan yang terkini di Thailand. Kebanyakan kes selsema babi yang dilaporkan berpunca akibat virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia, dan dipercayai merebak dalam kalangan umur 45 tahun ke bawah.

Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, sakit badan serta susah bernafas, selain dikesan berlaku di kalangan mereka yang mempunyai kaitan dengan ternakan babi. Sehingga kini belum ada vaksin khusus untuk melindungi virus babi itu dan belum jelas bagaimana virus selesema manusia sekarang ini dapat melindunginya. Saintis mengatakan ia penemuan sejenis virus baru dan ia boleh merebak daripada manusia kepada manusia.



Bagi golongan yang beriman, pastilah meyakini kebenaran kata-kata nabi saw. Bahawasanya inilah antara wabak penyakit ganjil yang disebutkan dalam hadis di atas. Kemunculan wabak penyakit ini hakikatnya mengingatkan kita kepada saat berlakunya kiamat. Oleh yang demikian, wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu. Insafilah atas kelalaian dan kealpaanmu dalam mengerjakan urusanNya.

Tuesday, April 21, 2009

Kontroversi 'markah kasihan'...

Pagi 15 April lalu, ketenangan warga Usim tiba-tiba digemparkan dengan kemunculan satu isu yang hingga hari ini masih lagi menjadi perbualan hangat dalam kalangan entitinya. Semuanya gara-gara paparan muka depan akhbar Kosmo yang melaporkan tajuk kontroversi ; Enggan beri markah kasihan - Pensyarah USIM dakwa terpaksa letak jawatan ekoran keputusan peperiksaan .



Walaupun sebenarnya agak lewat isu ini ditimbulkan di blog ini, tak bermakna aku selaku warga Usim hanya diam membisu tanpa menjawab kecaman dan tuduhan yang kukira 'kurang beradab' ini. Umum mengetahui isu ini, dan aku kira bukan hanya warga Usim yang terpalit malah juga mahasiswa yang sentiasa cakna terhadap sebarang isu yang ditimbulkan tak kira di pusat pengajian mana mereka berada.

Sebenarnya jika dilihat isu 'markah kasihan' ini bukan hanya menjadi topik bualan di institusi pengajian tinggi ketika ini sahaja bahkan topik ini telah lama dibualkan oleh warga kampus. Secara peribadi, aku yakin warga Usim telah sedar dan tahu secara mendalam berkenaan hakikat yang telah berlaku dalam isu ini. Segala tuduhan dan dakwaan yang tidak berasas yang dilemparkan ternyata telah terjawab dengan penuh berhemah.

Padaku, perbuatan pensyarah yang hanya dikenali sebagai 'Nor' oleh umum(warga Usim tahu siapa dia) mengeluarkan kenyataan yang ditafsirkan sebagai berani di akhbar merupakan satu perbuatan yang tidak mencerminkan sikap pendidik yang berhikmah. Mungkin agak kasar bunyinya, tapi itulah hakikat yang perlu beliau akui. Secara beradab, perkara ini boleh dibawa berbincang secara elok tak perlulah dek mengejar populariti, almaklum nama masuk paper, lebih teruk tabur fitnah pulak melata. Nasihatku,insafilah dirimu wahai pendidik!



Alhamdulillah, dengan rasa penuh tanggungjawab, pihak pentadbiran Usim melalui kenyataan Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor bin Husin telah merungkai serta menjawab segala tohmahan ini. Khabarnya, satu sidang media telah dibuat di bangunan Canselori khusus untuk menjawab fitnah ini. Menurut NC, beliau amat dukacita terhadap isu yang dibangkitkan yang dikira tidak berasas sama sekali.

Di sudut yang lain, ada hikmahnya setiap yang berlaku. Selaku mahasiswa yang cinta akan ilmu, perlu sedar bahawa nilai sesuatu ilmu itu lebih penting daripada segalanya. Jangan hanya menitik berat atas aspek markah semata-mata tanpa mengambil ihtimam terhadap pembudayaan ilmu itu sendiri. Markah yang tinggi dalam sesuatu subjek itu belum menjamin anda faham dan cukup hebat dalam subjek tersebut. Mungkin pelajar yang markahnya sederhana lebih faham daripada anda barangkali. Hal itu mungkin berlaku.


Apapun, fokus sekarang bukanlah untuk memanjangkan lagi isu yang sedia hangat ini. Apa yang pasti di peringkat Usim sudah jelas berkenaan isu yang hakikatnya sengaja 'dihangat' dan 'dipermainkan' oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan. Buat seluruh warga mahasiswa/i anda aset kepada universiti. Jatuh bangunnya sesebuah universiti bergantung kepada anda. Tidak kira dalam kursus pengajian apa anda berada, tingkatkan prestasi. Tunjukkan kualitimu yang sebenar selaku mahasiswa yang bermaruah.

Buat akhirnya, kututup bicara ini dengan kata-kata yang sering diucapkan oleh seorang mua'llimku yang cukup terkesan di dada....

"the marks are not important for me, i don't ever care what you get, but i'm really hope that you will know and learn something from my subject,it's already enough for me..."