Friday, December 26, 2008

Forum Milenia Muslim



Sempena Pesta Konvokesyen Ke-enam (C-Fest6) Universiti Sains Islam Malaysia dengan kerjasama Masjid Putra Nilai, Bandar Baru Nilai telah mengadakan satu forum yang diberi nama Forum Milenia Muslim yang membawakan tajuk 'Ragam Hijrah:Buat Dahulu, Insaf Kemudian'. Forum yang dibarisi oleh ahli panel terkemuka yang mana tidak asing lagi dalam kalangan mahasiswa khususnya iaitu Ustaz Uda Kassim dan Ustaz Fauzi Mustaffa.

Bertindak selaku pengerusi majlis pada malam itu sememangnya tugas yang tidak 'asing' lagi buat diriku. Sememangnya minatku pada pengucapan awam ini bermula sejak di bangku sekolah lagi. Bukanlah tujuanku untuk menunjukkan kehebatan bercakap di khalayak awam namun apa yang penting padaku hanyalah melawan rasa gementar dan malu apabila berhadapan dengan umum. Namun, kuakui di setiap majlis yang kukendalikan rasa gementar belum dapat dipudarkan tapi itu tidak menjadi halangan selagi kita pandai mengawalnya.

Alhamdulillah melalui persiapan yang rapi dan baik, forum dapat dimulakan pada waktu yang dijanjikan. Forum pada malam itu turut diserikan dengan penampilan istimewa adik Muhammad Ahmad Zahid yang baru sahaja menjadi johan dalam kategori bacaan dan suara terbaik dalam musabaqah hafazan Quran di Dubai International Holy Quran Award 2008 yang disertai oleh 85 orang peserta dari 85 buah negara. Bertuah sungguh ibubapa adik ini!Tahniah untuk beliau.

Antara pengisian forum pada malam tersebut banyak menyentuh soal mahasiswa yang sering berada pada zon 'selesa' sehingga tidak menghiraukan hal-hal yang berlaku di sekeliling mereka. Sepatutnya mereka haruslah prihatin bersangkutan hal-hal semasa dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ini. Mahasiswa kini juga kurang berfikir termasuklah berfikiran singkat tanpa ada 'long term vision' dalam sebarang tindakan.Hijrah membawa takrifan yang besar khususnya dalam kalangan remaja kini kerana golongan inilah yang bakal memimpin negara kelak.



0 comments: