Thursday, October 30, 2008

Masa......Koreksi Diri...


Berbicara tentang masa membuatkan aku termenung seketika. Apa tidaknya, terasa penyesalan pada diri lantaran masa yang berlalu namun tidak kumanfaatkan sepenuhnya. Paling menyedihkan, anugerah masa yang dipinjamkanNya itu terkadang kosong tanpa pengisian. Ya Allah, lalainya diri ini....

Teringat kata-kata seorang akhi yang kusegani katanya,"orang yang sibuk itulah orang yag mempunyai masa sedangkan orang yang tidak sibuk sentiasa memberi alasan tiada masa." Kata-katanya sering menjadi azimat pada diriku. Terbukti bahawa jika seseorang yang mempunyai tugasan yang banyak, pastiya dia akan menyusun segala tugasannya dengan bijak dan bagi yang beralasan, sebaliknya akan berlaku.

Sering kali berlaku konflik pada diri ini lantaran panjang angan-angan tentang masa. Diri hanya pandai menyusun gerak kerja menggunakan minda sedangkan pelaksanaan terhadap sesuatu kerja itu teramat kurang. Bila difikirkan di mana silapnya? Adakah diri kurang bermotivasi atau faktor persekitaran yang kurang membantu? Inilah saatnya koreksi diri.

"Sesungguhnya dua perkara yang tidak mungkin berlaku kata Nabi saw, orang yang telah meninggal dunia, hidup semula dan masa yang berlalu yang tidak mungkin akan kembali..."




Thursday, October 23, 2008

Bicara Siswa RTM di Usim


'Gemilangnya Universiti,Peranan Siapa?' begitulah tajuk yang dikupas oleh barisan ahli panel pada malam 17 Oktober 2008 yang lalu. Forum Bicara Siswa yang berlangsung di DKP 4 Usim mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada sekalian mahasiswa dan mahasiswi. Khabarnya ada juga segelintir hadirin yang tidak berpeluang mengikuti forum tersebut di dalam dewan kerana terlalu ramai.

Bicara Siswa pada malam tersebut telah dibarisi oleh Dr Mustaqim (Pensyarah Kanan Fakulti Quran dan Sunnah Usim), saudara Aliff Ismail selaku Naib Yang Di-Pertua 1 MPP Usim dan saudara Zaid selaku Yang Di-Pertua MPP UKM juga En. Hisham selaku moderator pada malam itu.

Memulakan sesi perbincangan masing-masing melontarkan idea dan pandangan yang antara lain menyentuh mengenai pihak-pihak yang memainkan peranan dalam memajukan serta menggemilangkan sesebuah universiti. Terkadang ada juga pandangan yang sedikit berbeza diutarakan namun tiada salah dalam melontarkan idea.

Selain mendengar kupasan ilmu yang dikongsikan oleh ahli panel,objektif forum ini juga turut memberi pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi bagaimana proses rakaman sesuatu program televisyen dijalankan. Alhamdulillah, suatu pengalaman baru kepada kami. Tidak rugi kepada yang memeriahkannya.








Thursday, October 16, 2008

Final Exam...


Begitu cepat dan pantas masa berlalu, sedar tak sedar tak lama lagi semua pelajar ijazah sarjana muda usim tidak kira dalam bidang apa sekalipun akan menempuh peperiksaan akhir semester. Tidak terkecuali juga diriku. Pastinya telah ramai antara mahasiswa dan mahasiswi telah mula,sedang atau akan memulakan ulangkaji mereka sebagai persiapan untuk menghadapi saat yang 'getir' apabila menjawab soalan dalam dewan 'peperangan' nanti.

Bila berbicara soal peperiksaan pastinya masing-masing mempunyai pandangan mreka tersendiri. Ada yang seronok, takut, bimbang tidak kurang pula ada yang sampai demam apabila menjelangnya saat peperiksaan. Mungkin dari situlah agaknya timbul istilah demam peperiksaan. Apapun jawapannya, insan bernama pelajar tidak akan dapat lari daripada hakikat demikian.

Peperiksaan menentukan sejauh mana tahap hafalan dan kefahaman seseorang pelajar sepanjang pengajian tidak kiralah di peringkat sekolah ataupun universiti. Tetapi persoalan yang sering bermain di minda mungkin sesetengah daripada kita ialah adakah kita menuntut ilmu hanya semata-mata kerana peperiksaan?

Harus diingatkan bahawa peperiksaan hanya merupakan kayu ukur sejauh mana tahap ilmu yang kita pelajari. Tanggapan anda silap jika menganggap peperiksaan merupakan segala-galanya. Apa lebih penting saya rasa sejauh mana pengamalan kita terhadap ilmu yang kita pelajari. Pepatah pun ada mengatakan "ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah".

Akhirul kalam, selamat menempuh peperiksaan kepada semua sahabat seperjuangan. Moga Allah memberkati ilmu yang dipinjamNya kepada kita. Moga Allah mempermudahkan segala urusan kita.....amiin.

Saturday, October 11, 2008

Bertemu Abg Ubai...

Pagi ini aku dikejutkan dengan kedatangan abg Ubai ke rumah. Seingat aku tak pernah pulak dia sampai ke sini. Dia merupakan seniorku semasa di smkam dulu . Lama tidak mendengar perkhabaran atau sebarang berita darinya. Rasanya kali terakhir aku menemuinya semasa aku beradadalam satu program agama.

Kedatangannya berhasrat untuk mengajak aku ke sekolah untuk berbincang pasal alumni sekolah kami. Rupanya untung jugak kalau sekiranya sesebuah sekolah itu mempunyai alumninya sendiri. Banyak manfaat.

Akhirnya aku,abg Ubai dan sepupuku Arislan ke sekolah kami yang sekian lama ditinggalkan. Kata orang, memang terlalu banyak kenangan semasa di sekolah. Dulunya aku terfikir bila mana seorang kakak seniorku mengatakan zaman persekolahan jauh lebih best daripada pengajian di universiti. Betul ke? Lama-kelamaan barulah aku mula bersetuju bila melaluinya sendiri.

Kami sempat berbincang mengenai beberapa perkara penting untuk dimuatkan dalam kertas kerja alumni. Aku harap sangat perkara ni benar2 akan berlaku. Mudah-mudahan dengan komitmen semua. i'Allah moga dipermudahkan jalannya....