Wednesday, April 29, 2009

Selsema Babi:Penyakit Ganjil Akhir Zaman

Dari Ibnu Umar Rasulullah SAW bersabda;"Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan Allah dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil)."

(HR: Ibnu Majah)

Menyelusuri sabda junjungan membuatkan diri terpaku seketika. Benarlah, kalamnya tidak pernah silap. Walau dinaqalkan beribu-ribu tahun dahulu. Untungnya orang beriman. Peringatan serta iktibar dari kisah umat terdahulu dijadikan panduan dan pedoman meredah badai kehidupan.

Hari ini, dalam kerakusan nafsu manusia mengejar arus kemodenan, dalam kebejatan ekonomi yang melanda negara serta dalam kecanggihan teknologi mengatur dunia, penduduk bumi dikejutkan dari mimpi yang lena dengan kemunculan suatu penyakit ganjil. Kalau dahulu selsema burung kini beralih kepada selsema babi.




Buat masa ini dilaporkan sudah hampir 150 jiwa terkorban dek wabak yang melanda negara-negara seperti Mexico, AS, Kanada, EU, New Zealand dan yang terkini di Thailand. Kebanyakan kes selsema babi yang dilaporkan berpunca akibat virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, burung dan manusia, dan dipercayai merebak dalam kalangan umur 45 tahun ke bawah.

Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, sakit badan serta susah bernafas, selain dikesan berlaku di kalangan mereka yang mempunyai kaitan dengan ternakan babi. Sehingga kini belum ada vaksin khusus untuk melindungi virus babi itu dan belum jelas bagaimana virus selesema manusia sekarang ini dapat melindunginya. Saintis mengatakan ia penemuan sejenis virus baru dan ia boleh merebak daripada manusia kepada manusia.



Bagi golongan yang beriman, pastilah meyakini kebenaran kata-kata nabi saw. Bahawasanya inilah antara wabak penyakit ganjil yang disebutkan dalam hadis di atas. Kemunculan wabak penyakit ini hakikatnya mengingatkan kita kepada saat berlakunya kiamat. Oleh yang demikian, wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu. Insafilah atas kelalaian dan kealpaanmu dalam mengerjakan urusanNya.

1 comments:

farid_faqeerfiddin said...

salam ziarah...

pertama kali ana dengar nama penyakitnya, terpacul sati bait kata dari bibir ana...

"hina sungguh bunyinya, sehina tempat penyakit itu bertapak..."

moga kita dijauhkan dari segala bala yang hina ini...