Monday, November 3, 2008

Maghribi haram majalah Perancis hina Islam

Sedutan Berita Harian hari ini melaporkan kerajaan Maghribi mengharamkan majalah edisi terbaru Perancis memetik artikelnya yang menhina Islam. Berikut adalah sedutan daripada berita berkenaan.

RABAT: Kerajaan Maghribi mengharamkan edisi terbaru majalah Perancis, L'Express International kerana menghina Islam dalam artikelnya yang berkaitan dengan hubungan antara agama Islam dan Kristian.

Menteri Penerangan, Khalid Naciri berkata beliau tidak ada pilihan tetapi mengharamkan keluaran terbaru majalah berkenaan kerana mengandungi bahan penghinaan.

Menteri itu berkata kod akhbar di negara berkenaan membenarkan kerajaan menutup atau mengharamkan mana-mana penerbitan yang didapati menghina Islam atau raja.

Kulit depan L'Express bertajuk 'The Jesus-Muhammad Shock' atau 'Kejutan Nabi Isa-Muhammad', yang juga tajuk buku yang ditulis oleh Christian Makarian, salah seorang ketua pengarang majalah berkenaan.


Majalah mingguan itu berkata siri artikel itu ditulis menjelang pertemuan yang dirancang di antara sarjana Muslim dan Kristian di Rom minggu ini dan bertujuan 'membantu dialog antara Islam dan Kristian'.


Naciri tidak menyatakan secara khusus apa yang disifatkannya sebagai bahan yang menghina, tapi memberitahu Associated Press bahawa "negara kami tidak harus diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk menyebarkan artikel yang boleh menyinggung penganut agama atau mengganggu ketenteraman."

Kenyataan laman web L'Express menyatakan majalah berkenaan tidak memahami reaksi Maghribi itu, terutama kerana langkah teliti diambil bagi menepati norma Islam, termasuk menutup wajah Nabi Muhammad SAW dengan kain putih sebelah menyebelah dengan potret Nabi Isa yang juga ditutup, selaras dengan kehendak agama Islam.

Edisi Perancis majalah itu bagaimanapun tidak menutup wajah berkenaan.

Salah satu artikel dalam majalah itu membandingkan Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW dan memetik ayat suci al-Quran yang "membenarkan perbuatan ganas terhadap mereka yang enggan mematuhi undang-undang Islam".

Ia juga mendakwa kononnya Nabi Muhammad SAW mempunyai dua perwatakan, salah satunya sebagai seorang pejuang dan satu lagi sebagai orang yang enggan berperang.

p/s: Ya Allah bantulah kami utk mempertahankan agamaMu daripada kaum kafir yang menghina agamaMu....amiin