Saturday, August 22, 2009

Marhaban ya Ramadhan...


Alhamdulillah. Kesyukuran dipanjatkan kerana berpeluang menghirup nafas Ramadhan pada tahun ini. Terasa sedikit kesal kerna tika tirai Ramadhan menerjah, aku secara peribadi masih belum cukup persediaan menghadapinya. Dek kerana sibuk berprogram dan bermacam aktiviti lain namun yang diharapkan hanyalah keikhlasan dan redha Tuhan di setiap travelog kehidupan ini.

Apa yang pasti, permulaan Ramadhan kali ini sedikit berbeza berbanding yang lepas. Kala subuh menjelma, aku hanya bersama Abg Muzakkir menikmati hidangan sahur bersama. Berbekalkan hanya roti dan biskut tak menjadi masalah bagi kami. Rakan-rakan serumah tiada bersama kerna masih menikmati cuti semester di teratak masing-masing di kampung.

Sudah lama sebenarnya tidak pulang ke kampung halaman. Bertemu ayah dan bonda serta adik, abang dan sanak saudara. Mulanya terasa kesedihan juga akan tetapi lama-kelamaan terasa biasa. Mungkin lumrah alam begitu agaknya. Hakikat perjuangan sebagai pelajar sentiasa ditekuni. Menjadi tugasku untuk memikul beban amanah akademik dan dakwah di sini. Itu pun sudah cukup untuk menjadi ubat penawar hati.

Post kali ini, kuanggap hanya sekadar luahan hati. Bukan mengharap simpati. Hanya simpanan rasa jauh dari lubuk hati. Apa yang pasti, tajuk Ramadhan harus sama-sama kecapi. Jangan dibiarkan Ramadhan berlalu pergi. Tidak beroleh pun sebarang keuntungan darinya. Ambillah seberapa banyak peluang untuk mendekatkan diri kepadaNya. Hadis nabi menyebut, "celakalah bagi mereka yang mendapati Ramadhan, namun dia keluar darinya tanpa diampunkan Allah akan dosa-dosanya..."


Justeru, menyentuh sedikit kehidupan mahasiswa di kampus. Memahami akan situasi mereka yang sentiasa bertungkus lumus dalam gerak kerja kampus tidak kiralah dengan assignmentnya atau program-program sekalipun, supaya bijak membahagikan masa pada bulan ini. Peruntukkanlah masamu dengan sebaiknya agar tak terlepas ganjaran hebat di sepanjang sebulan Ramadhan ini. Jangan hanya mengejar assignment, tarawih ditinggalkan. Jangan hanya sibuk berprogram, Quran tak dilazimkan. Jaga percakapan, pergaulan dan pandangan yang boleh meminimumkan pahala puasamu. Perbanyak bersedekah serta pelbagai amalan sunat yang lain.

Harapannya semoga travelog Ramadhan kali ini ditekuni dan dimanfaatkan oleh kita semua. Jadikan ia Ramadhan yang terbaik dalam melahirkan diri kita sebagai mukmin yang bertaqwa i'Allah. Ahlan Ya Ramadhan! Ramadhan kareem!


3 comments:

Nasrullah ibnu Umar Al-Kalantani said...

Selamat berpuasa ya akhi...
Semoga terus tabah di jalan Allah.
Mehnah dan tribulasi harus dihadapi sebaiknya.
Moga kita ketemu di kampung kelak, insya-Allah tak lama lagi.
Wassalam.

W.A.N.
A-Auqaf, Zaqaziq, As-Syarqiah, Jumhuriah Misr Al-Arabiah.

Mohd Hazimin Harun said...

salam Ramadhan.
Amir, bicara yang mengesankan sesudah lama tak posting..huhu
insyaAllah jangan kita sia-siakan rahmat sebulan ini.

نور عفني said...

salam ziarah...