Wednesday, July 1, 2009

Mengenal Antara Kaca dan Permata

Bulan Jun yang lalu telah memahatkan memori kematian dua orang tokoh dunia yang berbeza. Dimulai dengan kematian seorang ulama Lubnan iaitu Almarhum Dr Fathi Yakan kemudian diikuti dengan kematian Michael Jackson atau lebih popular dengan jolokan Raja Pop. Kedua-dua tokoh ini datang dalam dua arena yang amat berbeza bagai langit dan bumi.

Michael Jackson telah diberitakan meninggal dunia akibat serangan jantung yang dihadapinya sewaktu berada di rumah sakit UCLA Medical Centre di Los Angeles. Dia meninggal dunia di saat usianya 50 tahun. Namun, sehingga saat ini punca sebenar kematiannya masih menjadi tanda tanya.



Umum mengetahui Michael Jackson sangat terkenal lewat 1980-an dan sering mendominasi arena muzik dunia. Albumnya yang berjudul “Thriller” pada tahun 1982 terjual sebanyak 50 juta keping di seluruh dunia dan menjadikannya sebagai salah seorang terkaya di dunia. Pada awal 90an, dia telah menukar rupa dan bentuk tubuhnya, daripada seorang berkulit hitam menjadi kulit putih melalui pembedahan plastik.

Sepanjang kariernya, Raja Pop ini telah banyak mencetuskan kontroversi antaranya kahwin cerai, pencabulan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki, melakukan aksi bahaya terhadap anaknya sendiri dan sebagainya. Pada tahun 2003, dia diberitakan telah masuk Islam mengikuti jejak abang kandungnya yang telah terlebih dahulu memeluk Islam. Namun berita seputar dia menganut Islam amat sedikit sekali.

Berita mengenai kematiannya disambut dengan tangisan oleh para peminat fanatiknya di seluruh negara hatta di Malaysia sekalipun. Apa yang menyedihkan ada juga dalam kalangan orang Islam turut bersedih dengan kematian penyanyi ini. Keadaan ini amat jauh berbeza dengan pemergian Almarhum Dr Fathi Yakan.

Apa yang didapati hanyalah suasana tidak ambil peduli dan dunia seakan memejamkan mata meratapi pemergian ulama yang agung ini. Apa yang menyedihkan lagi ada juga dalam kalangan orang Islam langsung tidak ambil kisah bahkan tidak mengenali pun batang tubuh ulama ini. Ketika ditanya, banyak pula yang menjawab,"Fathi Yakan? Siapa Fathi Yakan?"

Padahal Almarhumlah yang banyak meniupkan semangat dan obor perjuangan buat anak muda dalam mengharungi bahtera kehidupan. Sosok pejuang ini adalah antara nama besar yang melestarikan dunia kebangkitan Islam dengan menghasilkan puluhan buku dakwah yang telah mencerahkan langit kebangkitan Islam. Buku Maza Ya'ni Intima' Fil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam) menjadi rujukan kepada aktivis dakwah di seluruh negara.


Beliau seorang pemikir Islam yang sentiasa meransang anak-anak muda untuk bersama kebangkitan Islam. Almarhum sangat menjiwai peranan pemuda untuk membahterai harakah Islam. Beliau pernah merkamkan dalam tulisannya:

Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempunyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakkan generasi Islam yang tulen.

Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat Islam.


Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar; Pemuda yang tiada peribadi, bersikap seperti kera; Pemuda yang tidak mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang; Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan; Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka; tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.

6 comments:

sahabat said...

pemuda menyelami hati mereka, sekadar di permukaan atau ke dasar?

Mohamad Amir Sufi Mohd Kamil said...

siapakh mreka y dimaksudkan?

Maisarah BT Mohamed Rafie said...

btul...betapa umat Islam sekarang sangat tidak alert dgn saudara seagama walaupun ulama' agung...di manakah kesedaran kita?

Mohd Hazimin Harun said...

siapa michael jackson? aku tak kenal pon. buku apa yang dia tulis? hoho

Fazareez Fauzi said...

Ya pemuda yg terus berjuang hingga ke titisan peluh yg terakhir..eh clap, titisan dan gugusan darah yg terakhir...

adele said...

http://www.sabahdaily.com/2009/07/konspirasi-kematian-michael-jackson/

maafkan kesalahan yg lalu andai kisah ini benar..sesungguhnya Allah maha Pengampun buat hamba2nya..